Jawapan kepada soalan lazim mengenai ASWARA, program pengajian dan kemudahan kampus.

Bilakah ASWARA ditubuhkan?

Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ditubuhkan pada tahun 1994. Kumpulan pelajar pertama telah mendaftar pengajian diploma ASK di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Pada tahun 2006, ASK berpindah ke kampus tetap di 464 Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Pada tahun 2008, Menteri Kebudayaan dan Warisan telah mengisytiharkan ASWARA sebagai sebuah badan berkanun.

Di manakah terletaknya kampus ASWARA?

Kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan terletak di 464 Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur. Lokasinya yang strategik, berdekatan dengan tempat tarikan pelancongan dan di tengah Bandaraya Kuala Lumpur, menjadikan ASWARA mudah diakses dan dikunjungi ramai.

Mengapa perlu memilih ASWARA?
  • ASWARA merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi bertaraf universiti yang berasaskan bidang seni dan budaya.
  • Kadar yuran keseluruhan yang amat berpatutan dengan kualiti pembelajaran yang terbaik.
  • Kombinasi pengajaran dan pembelajaran teori dan praktikal yang seimbang oleh pemain industri dan penggiat seni negara.
  • Lokasi ASWARA yang strategik sebagai pusat pengembangan aktiviti kesenian dan kebudayaan.
  • Program seni persembahan tradisional berteraskan konsep Adiguru.
Apakah program pengajian yang ditawarkan di ASWARA?

ASWARA menawarkan empat (4) peringkat pengajian utama, iaitu Pascasiswazah, Prasiswazah, Asasi Seni Kreatif dan Sijil melalui penubuhan tujuh (7) fakulti dan tiga (3) pusat pengajian. Secara khususnya, 26 program pengajian yang ditawarkan telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). ASWARA juga menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat kepada para penuntutnya melalui program Micro-Credentials, Nano-Credentials, Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia, Sijil Seni Kreatif ASWARA (SSKA) dan Sijil Seni Tradisi ASWARA (SSTA).

Apakah fasiliti atau kemudahan pembelajaran yang disediakan di ASWARA?

Sebagai pelopor pendidikan dalam bidang seni, budaya dan warisan, ASWARA optimis dalam menyediakan ruang dan fasiliti bertaraf dunia kepada penuntutnya. Antara fasiliti yang disediakan di ASWARA ialah Panggung Eksperimen, Dewan Orkestra, Studio Rakaman, Studio Latihan, Pusat Penyiaran, Bilik Kuliah dan banyak lagi.