PERUTUSAN REKTOR ASWARA


Assalamualaikum WBT dan Salam Malaysia MADANI,

 

Selamat datang ke portal rasmi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

 

Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan, ASWARA terus komited dan mengorak langkah sebagai institusi peneraju dalam pendidikan seni, budaya dan warisan negara. Saya percaya bahawa seni bukan sekadar medium ekspresi, tetapi juga wahana penting dalam membina masyarakat yang berilmu, berbudaya dan beridentiti kukuh.

 

Dalam era yang semakin mencabar dan dipacu oleh kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat menjadi teras utama dalam memperkasa individu dan komuniti. Di ASWARA, pendekatan ini diperhebatkan dengan penyediaan ekosistem pembelajaran yang inklusif, dinamik dan relevan merangkumi pendidikan formal, tidak formal serta latihan profesional dalam pelbagai disiplin seni dan budaya. Usaha ini bertujuan melahirkan bukan sahaja penggiat seni yang berbakat dan berkemahiran tinggi tetapi juga warga yang kreatif dan berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

Sebagai institusi yang memelihara dan memartabatkan warisan budaya negara, ASWARA memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan tradisi sambil meneroka inovasi baharu mengikut arus perdana. Dengan sokongan padu warga ASWARA yang terdiri daripada barisan tenaga akademik yang professional dan terlatih, pentadbiran serta pelajar, saya yakin segala perancangan dan inisiatif pendidikan seni, budaya dan warisan yang dirangka dapat direalisasikan dengan jayanya. Semangat kebersamaan ini selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menitikberatkan kerjasama dan keharmonian dalam segala aspek kehidupan.

 

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung portal rasmi ini. Semoga platform ini menjadi sumber rujukan yang bermanfaat serta membuka ruang kepada perkongsian ilmu, idea dan pandangan demi memartabatkan pendidikan seni, budaya dan warisan negara.

 

“ASWARA, Melangkah ke Hadapan Bersama Tradisi”

 

Sekian, terima kasih.

Dr. Tan Awang Besar
Datuk `Ainu Sham Haji Ramli