IJAZAH SARJANA MUDA PENULISAN DENGAN KEPUJIAN (PENULISAN KREATIF) – MQA/FA 0142
Bagi peringkat Sarjana Muda, para pelajar diperkenalkan, diberikan kefahaman dan dibimbing dalam disiplin penulisan kreatif oleh para pensyarah yang benar-benar berpengetahuan dan berkelayakan dalam bidang masing-masing. Tumpuan atau kursus peringkat ljazah Sarjana Muda, lebih tertumpu kepada penulisan dramatik (drama pentas, televisyen dan lakon layar). Selain itu, kursus-kursus penulisan cereka dan non-kreatif turut ditawarkan. Orientasi pengajaran dan pembelajaran memberat kepada kerja-kerja praktikal lanjutan (penghasilan karya/naskhah) di samping mendedahkan pelajar kepada ilmu-ilmu teori, falsafah, sejarah, psikologi, apresiasi dan kritikan dalam penulisan. Kursus-kursus disusun sedemikian rupa bagi dusesuaikan dengan keperluandan permintaan industri kandungan bagi seni persembahan dan seni layar (televisyen dan filem).
IJAZAH SARJANA MUDA PENULISAN DENGAN KEPUJIAN (PENULISAN FILEM DAN TELEVISYEN) – MQA/FA 0143
Program ini menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan penulisan skrip untuk seni layar iaitu medium layar kaca {televisyen) dan layar lebar (filem). Beberapa bentuk penulisan yang sesuai dengan program-program televisyen dan lakon layar untuk filem cereka didedahkan bagi emmberikan kefahaman, pengalaman dan kemahiran kepada pelajar untuk menghasilkan karya. Kursus-kursus penulisan skrip dokumentari dan iklan turut ditawarkan untuk melengkapkan pengisian modul dan keperluan industri kandungan tanah air. Pelajar yang menamatkan pengajian modul ini dengan lengkap dan sempurna akan menerima ljazah Sarjana Muda Penulisan dengan Kepujian (Penulisan Filem & Televisyen)
IJAZAH SARJANA MUDA FILEM & TELEVISYEN DENGAN KEPUJIAN – MQA/FA 5165
Melahirkan ilmuan dan karyawan yang terlatih, berilmu dan profesional dengan menguasai pengetahuan, kemahiran dalam pelbagai penerbitan filem dan televisyen serta penyelidikan ilmiah. Fakulti ini menawarkan pengajian yang menyeluruh dalam pelbagai bidang kemahiran dan pengkhususan seperti pengarahan, sinematografi, penyuntingan dan bunyi, rekaan produksi dan animasi. Kursus-kursus teras fakulti seperti teori, sejarah dan pengurusan produksi memperkukuh dan melengkapkan kurikulum pengajaran serta pembelajaran agar seimbang di antara ilmu teori dan praktis. Berbekalkan teras pendidikan dalam kesenian kesenian tradisional sebagai kursus wajib ASWARA, para pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menghasilkan karya kreatif filem dan televisyen beridentitikan semangat dan jati diri budaya tempatan. Para pelajar diberi peluang untuk menimba ilmu dan kemahiran yang luas melalui kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajarannya berbentuk kelas teori, bengkel, tugasan di makmal dan studio, kajian lapangan, produksi, tayangan, filem, diskusi keilmuan bersama tokoh-tokoh akademik serta karyawan undangan dari industri dalam dan luar negara. Aktiviti-aktiviti peluasan khas fakulti seperti projek penerbitan dokumentari, cereka, animasi, di samping seminar dan bicara filem melengkapkan pelajar dengan ilmu praktis agar mereka bersedia mencurah kemahiran di industri setelah menamatkan pengajian.
Fakulti Penulisan Kreatif & Filem juga sentiasa melengkapkan kemudahan infrastruktur peralatan pembelajarannya setanding dengan penggunaan dan keperluan industri semasa. Para pelajar akan didedahkan dengan penggunaan peralatan produksi menggunakan format digital, High Definition (HD), dan serta peralatan pasca produksi seperti studio penyuntingan visual non-linear, studio rakaman dan penataan bunyi, studio animasi dan sebagainya. Barisan tenaga pensyarahnya pula terdiri daripada ilmuan dan karyawan yang diakui kepakaran serta pengalamannya dalam bidang akademik dan penggiat industri filem terkenal tanah air. Pendedahan luas melalui sistem pengajaran dan pembelajaran seimbang antara ilmu teori dan praktis, peralatan pembelajaran setanding dengan industri serta bimbingan daripada tenaga pensyarah berpengalaman telah melengkapkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan industri perfileman tanah air.
Pelaksanaan aktiviti/program adalah secara berkala bagi menyokong dan melengkapkan setiap kursus yang ditawarkan bagi setiap pengajian di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem (FPKF). Penglibatan pelajar dalam setiap aktiviti/program adalah diwajibkan bagi mendedahkan para pelajar kepada pembelajaran secara praktikal. Antara aktiviti/program tahunan fakulti adalah Wacana Sastera, Malam Puisi Warisan, Diskusi Buku dan Bengkel Filem dan Televisyen. Melalui penganjuran aktiviti/program di fakulti, pelajar boleh mengaplikasikan pembelajaran sepanjang semester sewaktu penganjuran aktiviti/program.