Acara seni seperti randai mampu mengurangkan keasyikan generasi muda terhadap penggunaan gajet. Hakikat ini kerana mereka akan lebih menumpukan perhatian kepada aktiviti dunia sebenar dan bukannya terperangkap dengan keseronokan kandungan alam maya. Perkara ini disuarakan Yusmar Afeendi, seorang koreografer seni randai yang berjaya melatih sekumpulan kanak-kanak untuk teater muzikal Randai Mudo Pak Belalang yang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 10 Ogos depan.
Menariknya tentang pementasan ini, ia mengetengahkan bakat kanak-kanak yang dididik untuk mencintai warisan seni tradisi. Persembahan randai yang berasal dari budaya Minangkabau itu akan menggabungkan seni silat, muzik, lawak jenaka serta tarian di atas satu pentas. Sejak dahulu lagi, randai sering dipersembahkan pada perayaan menuai padi, upacara perkahwinan dan perayaan lain. Teater muzikal ini akan diserikan dengan lagu-lagu rakyat diiringi alat muzik tradisional seperti caklempong, rebana, salung dan gong. Teater tradisional dari Negeri Sembilan ini bakal mempamerkan tarian bertenaga oleh kira-kira 20 kanak-kanak daripada kumpulan Genius Kids. Kanak-kanak berbakat itu dilatih oleh Pewara Dance Theater, sebuah kumpulan alumni dan kakitangan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). Ia diarahkan oleh Mohd Adika Zainal.
Bacaan selanjutnya : Randai Mampu Ubah Fokus Kanak-Kanak Terhadap Gajet - Suria FM