Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) yang ditubuhkan pada 24 Jun 2014 telah dilancarkan oleh Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan Malaysia waktu itu iaitu YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. PuTRA merupakan kesinambungan usaha yang amat relevan sejak tertubuhnya ASWARA pada 1994 bagi melahirkan graduan yang berdaya saing kepada industri kreatif dan mempunyai signifikan yang sangat besar dalam agenda pelestarian kesenian tradisi di negara ini.

PuTRA menawarkan kursus teras akademi khusus dalam seni tradisional kepada semua pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda ASWARA. PuTRA menyediakan kursus seni tradisional yang holistik merangkumi aspek teori, praktikal dan falsafah dalam menguasai ilmu tradisi melalui konsep pembelajaran secara berguru bersama Adiguru yang menjadi amalan di PuTRA.

Peranan PuTRA

  • Melestarikan seni tradisional melalui pembelajaran, aktiviti dan program dengan penerapan idea-idea baru berprinsipkan ‘tradisi akar kehidupan modenisasi’.
  • Mendidik pelajar yang seimbang antara ilmu amali dan akademik, mempunyai nilai estetika yang tinggi, kendiri yang utuh dan ada nilai-nilai murni.
  • Mengumpul bahan dan hasil karya berkaitan Adiguru dan pelbagai seni tradisional.

Objektif PuTRA

  • Menjadi sebuah pusat yang melahirkan pelapis Adiguru dan penggiat dalam pelbagai kemahiran, profesional, berwibawa dan beretika dalam seni tradisional.
  • Menjadi pusat rujukan berkenaan Adiguru dan pelbagai seni tradisional.
  • Menjadi pusat koleksi dan dokumentasi pelbagai seni tradisional.

ADIGURU

Keistimewaan di PuTRA ialah konsep pengajaran dan pembelajaran bersama Adiguru di mana pelajar berpeluang mendapatkan ilmu secara terus dari Adiguru-adiguru yang ada di PuTRA. Adiguru ialah tenaga pengajar yang berpengalaman luas dan sangat mahir dalam bidangnya. Terdapat lima orang Adiguru dibawah PuTRA iaitu Adiguru Makyung, Wayang Kulit, Gamelan dan bidang Etnomuzikologi.

Che Mohd Nasir Yusoff

  • Berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang kesenian Kelantan.
  • Dilahirkan pada 15 April 1955 dan mendapat didikan awal di Sekolah Kebangsaan Kg. Bunuhan, Tumpat Kelantan. Beliau mendapat tunjuk ajar dari tokoh-tokoh seni tanah air iaitu guru Wayang Kulit Seniman Negara Pertama Arwah Pak Hamzah Awang Amat, guru Main Teri Arwah Pak Soh Tok Minduk, guru Makyung Arwah Mahmud Tok Payung dan guru Dikir Barat Arwah Seman Wau Bulan.
  • Kepakaran beliau adalah sebagai Tok Dalang dalam seni tradisional Wayang Kulit Kelantan, Tukang Karut dan Tok Joghro dalam Dikir Barat. Mahir dalam permainan alat muzik pergendangan Kelantan, lakon Peran dalam persembahan Makyung dan lakon Tok Teri dalam persembahan Main Teri.
  • Menjadi pakar rujuk dalam bidang kesenian Kelantan kepada pengkaji dari universiti-universiti tempatan dan luar negara serta sering dijemput mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.
  • Beliau adalah penerima Pingat Seri Mahkota Kelantan (SMK) pada 30 Mac 2002 yang dianugerahkan oleh D.Y.M.M. Sultan Kelantan, penerima Anugerah Khidmat Cemerlang ASWARA pada tahun 2002 dan 2011.
  • Beliau telah dilantik sebagai pensyarah di ASWARA sejak tahun 1995 dan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Adiguru ASWARA tahun 2021.

Nik Mustapha Nik Md Salleh

  • Berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang etnomuzikologi yang melibatkan kajian dan penulisan ilmiah.
  • Dilahirkan pada 13 Mei 1944 di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Padang Garang, Kota Bharu Kelantan dan Sekolah Inggeris Islah, Kota Bharu Kelantan. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM) London pada tahun 1982 dan mendapat Grade 8 (Final Grade).
  • Kepakaran beliau adalah dalam bidang muzik tradisional dan moden serta dalam bidang penulisan ilmiah mengenai muzik dan alat muzik tradisional. Antara buku penulisan beliau adalah:
    • Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu di Malaysia
    • Joget Pahang – Gamelan Melayu (Penulisan Bersama)
    • Alat Muzik Asia dan Pasifik (anjuran ACCU/UNESCO, Tokyo Jepun) – telah terbitkan 3 siri video dan penulisan mengenai pembuatan alat muzik Rebab, Serunai dan Gambus
    • Muzik Silat Baku Malaysia
  • Pernah dilantik sebagai ahli dalam Society Of Ethnomusicology (SEM) di Indiana University, Michigan USA (1984 – 2002), Jurulatih Kebudayaan dalam bidang muzik tradisional Gamelan Melayu di Komplek Budaya Negara (KBN) (1982), Ketua Program Muzik, Institut Bimbingan Seni di Unit Pendidikan KBN (1986) dan Ketua Program Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA (2015).
  • Beliau telah dilantik sebagai pensyarah di ASWARA sejak tahun 2005 dan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Adiguru ASWARA tahun 2021.

Abdul Khalil Hassan

  • Berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang muzik Gamelan Melayu.
  • Dilahirkan pada 11 April 1946 di Teluk Intan, Perak. Pendidikan tertinggi adalah LCE pada tahun 1962 dan pernah menyertai Kursus Jangka Pendek Muzik Gamelan di Akademi Seni Kerawitan Solo, Indonesia yang ditaja oleh Asean Fellowship.
  • Kepakaran beliau adalah dalam muzik Gamelan Melayu. Beliau memulakan kerjaya sebagai pemuzik di KBN, seterusnya dilantik sebagai jurulatih muzik di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya, kemudian menjadi Pegawai Kebudayaan di DBKL dan MBSA. Beliau menubuhkan kombo dan orkestra serta menjadi penyelaras persembahan Lawatan Budaya DBKL ke Indonesia, Tokyo, Korea, Hong Kong, Turki, Eropah dan Taipei.
  • Beliau adalah penerima pingat Ahli Mahkota Pahang (Pahang), Ahli Mahkota Perak (Perak), Ahli Mahkota Selangor (Selangor), Ahli Mangku Negara (Kerajaan Persekutuan) dan Pingat Pekerti Terpilih (Perak).
  • Beliau telah dilantik sebagai pensyarah di ASWARA sejak tahun 2007 dan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Adiguru ASWARA tahun 2021.

Abd Wahab Othman

  • Berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang muzik tradisional dan seni tradisional Makyung.
  • Dilahirkan pada 1 September 1957 di Tumpat, Kelantan dan mendapat pendidikan LCE. Memulakan kerjaya dengan menjadi jurulatih Makyung, Silat, Wayang Kulit dan Dikir Barat di USM, Pulau Pinang (1990 – 1993), pemuzik di DBKL dan KBN (1993 – 1997) dan pensyarah Makyung di Fakulti Seni dan Persembahan di UPSI (2015).
  • Beliau pernah dilantik oleh Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai Jurutunjuk Kursus Pemuliharaan Makyung dan menjadi Jurulatih Bengkel Manifestasi  Muzik Asli di JKKN Sabah (2007). Pernah mewakili  Malaysia  di Festival Tari Medan, Indonesia (1999), Festival Gamelan Yogjakarta, Indonesia, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tehran, Iran (2001), mewakili Malaysia di Promosi Kebudayaan di Jeddah, Arab Saudi (2003) dan mewakili Malaysia di Festival Kesenian New York, Amerika Syarikat (2005).
  • Beliau bertanggungjawab mewujudkan pementasan tradisi Makyung bersama Kumpulan Makyung Seri Nilam Istana Budaya dan kumpulan ini aktif mementaskan persembahan Makyung Dewa Indera Indera Dewa, Endeng Tejeli, Anak Raja Dua Serupa dan banyak lagi.
  • Beliau telah dilantik sebagai pensyarah di ASWARA sejak tahun 2015 dan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Adiguru ASWARA tahun 2021.

Fatimah Abdullah

  • Berpengalaman lebih 50 tahun dalam seni tradisional Makyung.
  • Dilahirkan pada 7 Ogos 1959 di Wakaf Tapai, Terengganu. Mula mendapat pendidikan seni tradisional Makyung pada umur 10 tahun.
  • Mula bergiat aktif dalam seni tradisional Makyung di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur (1967 – 1990). Meneruskan kerjaya dengan menjadi ketua dan pembimbing persembahan Makyung sempena pengiktirafan UNESCO sebagai Mahakarya Warisan Tidak Ketara Kemanusian (Intagible, Culture Heritage of Humanity) di Kg, Telok Bachok, Kelantan.
  • Beliau pernah menjadi tenaga pengajar dan penasihat bagi persembahan Makyung yang dianjurkan di ASWARA, Kementerian, Yayasan Seni Kuala Lumpur, Kastam Malaysia, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian DBKL, Jabatan Kesenian Petronas, Kumpulan Nilam Sari Istana Budaya dan Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Beliau telah dilantik sebagai pensyarah di ASWARA sejak tahun 2000 dan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Adiguru ASWARA tahun 2021.

STRUKTUR KURSUS TERAS AKADEMI (TRADISONAL)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KEKUATAN KURSUS-KURSUS SENI TRADISIONAL DI PuTRA

  • Kursus-kursus seni tradisional yang ditawarkan telah mendapat pengiktirafan negara melalui tokoh yang diangkat dalam bidang masing-masing iaitu Seniman Negara Abdul Rahman Abu Bakar atau Rahman B (Bangsawan), Allahyarhamah Khatijah Awang (Makyung) dan Allahyarham Hamzah Awang Amat (Wayang Kulit).
  • Makyung telah mendapat pengiktirafan di persada dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2005 sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (Intangible Cultural Heritage In Humanity).
  • Kursus produksi seni tradisional yang wajib diambil oleh pelajar terdapat pelbagai elemen seperti tari, lakon, muzik, cerita, nyanyian dan pengurusan produksi dimana elemen-elemen tersebut bersesuaian dengan kepakaran pelajar dari setiap fakulti.

PROGRAM-PROGRAM JARINGAN KERJASAMA DAN PERLUASAN

Dalam usaha menyebarluas, melestarikan dan memartabatkan seni tradisional seperti Wayang Kulit, Makyung, Bangsawan, Randai dan Mek Mulung, PuTRA giat menjalinkan kerjasama sama ada diperingkat dalam mahupun luar negara bagi aktiviti serta program bersifat akademik dan persembahan dengan melibatkan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah-sekolah, sekolah seni, agensi-agensi kerajaan dan swasta, penggiat-penggiat seni, alumni ASWARA, tokoh dan artis jemputan. Antara negara luar yang pernah PuTRA bekerjasama adalah New York University (2016), Kyoto University of Arts and Design, Japan (2016), East West Center, Hawaii, Amerika syarikat (2016), University of Wollongong, Australia (2017), Institut Seni PadangPanjang, Indonesia (2021) dan Korea National University of Arts (2021). PuTRA juga turut menganjurkan program seperti persembahan Caklempong, Gamelan, Ghazal, Dondang Sayang, Keroncong, Muzik Asli, Pembuatan Patung Wayang Kulit,  Serunai serta Aksesori dan Props Seni Tradisional.

Kemaskini: 22 Jun 2022, 1845