Fakulti Seni Halus merupakan sebuah fakulti yang menumpukan kepada pengajian bidang seni reka visual. Berbeza dengan universiti-universiti lain di Malaysia, pengajaran dan pembelajaran fakulti ini menggabungkan tiga bidang rekaan iaitu seni halus, seni reka grafik dan sinografi. Gabungan ini membawa keunikan yang tersendiri di mana fokus pengajian bukan sahaja dijuruskan kepada seni tampak analog dan digital, malah pelajar diajar menterjemah rekaan visual pementasan dan produksi.

Fakulti ini juga menyediakan peluang pembelajaran dan pengajian peringkat tertinggi yang sistematik, formal dan berkualiti. Tiga bidang yang disediakan ini akan menyokong kepada perkembangan bakat seni visual yang berkebolehan dalam menghasilkan karya seni tampak, menghasilkan gubahan digital seni grafik dan juga seni penterjemahan skrip ke pementasan. Ia secara tidak langsung meluaskan lagi skop kepakaran dan pekerjaan para graduan dalam industri.

KERJAYA

Graduan yang lahir dari Fakulti Seni Halus khususnya dari Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual dengan Kepujian, Diploma Rekaan Komunikasi Visual dan Diploma Seni Halus mempunyai potensi yang tinggi untuk menceburi kerjaya secara profesional dalam industri seni kreatif Negara khususnya seni komunikasi visual dan seni reka persembahan sama ada sebagai:

  • Pelukis (Artist)
  • Pereka Grafik (Graphic Designer)
  • Pengarah Artistik (Artistic Director)
  • Pengarah Teknikal (Technical Director)
  • Pengarah Seni Visual (Art Visualizer)
  • Pereka Produksi (Production Designer)
  • Pengarah Seni (Art Director)
  • Pereka Set (Set Designer)
  • Pereka Prop (Prop Designer)
  • Pereka Cahaya (Lighting Designer)
  • Pereka Kostum (Costume Designer)
  • Pereka Solekan (Make-up Designer)
  • Pereka Multimedia (Multimedia Designer)
  • Jurufoto (Photographer)
  • Pelukis papan cerita (Storyboard Artist)
  • Pereka tatacahaya (Lighting Designer)

Fakulti Seni Halus menawarkan tiga (3) program pengajian iaitu:

IJAZAH SARJANA MUDA SENI REKA VISUAL DENGAN KEPUJIAN (MQA/FA 9758)

Program Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual dengan Kepujian yang ditawarkan oleh ASWARA merupakan sebuah program yang dibentuk untuk memberi pengetahuan secara menyeluruh di dalam tiga bidang utama iaitu:

SENI HALUS

Pelajar akan didedahkan dengan cara penghasilan karya yang lebih dewasa dan kritis dalam menjadi pengkarya seni tampak yang mampu bersaing di dalam industri seni visual negara.

SENI GRAFIK

Pelajar akan didedahkan dengan kemahiran teori dan praktikal dalam mengolah seni digital melalui penguasaan menggunakan perisian komputer dalam menjana rekaan seni grafik yang menepati kehendak industri semasa.

SINOGRAFI

Pelajar akan didedahkan dengan kemahiran menterjemahkan teks berupa skrip dan sinopsis produksi kepada penghasilan rekaan seni latar dalam menjayakan sesebuah persembahan produksi seperti tv komersial, drama, filem, teater, tarian dan konsert muzik.

Pengajaran dan pembelajaran memberi lebih tumpuan kepada kemahiran praktikal berhubung dengan peranan, tugas, dan tanggungjawab seorang pereka di dalam sesebuah organisasi, tidak kira sama ada organisasi swasta atau kerajaan, di dalam bidang seni kreatif. Penekanan diberikan kepada pendidikan seni visual berbentuk teori, praktikal dan kemahiran dengan sokongan dan latihan daripada pensyarah dan guru yang bertauliah serta berpengalaman bagi melahirkan graduan yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis.

KURSUS-KURSUS YANG DITAWARKAN:

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual (Dengan Kepujian)

  • Catan
  • Lukisan Teknikal dan AutoCAD
  • Lukisan
  • Grafik
  • Fotografi Digital
  • Sinografi
  • Rekaan dalam Persembahan

DIPLOMA SENI HALUS (MQA/FA 0194)

Program Diploma Seni Halus merupakan sebuah pengajian yang mempunyai matlamat tinggi untuk melahirkan karyawan, seniman, pelukis, pengarca, penghayat seni yang berilmu, kreatif, beradab dan profesional. Tumpuan diberikan kepada pendidikan seni berbentuk teori dan kemahiran praktikal dengan sokongan latihan dari adiguru-adiguru negara berteraskan warisan dan budaya tradisi tempatan. Program ini memberi penekanan khusus terhadap bidang seni tampak merangkumi:

SENI CATAN

Pelajar akan didedahkan kepada elemen dan prinsip seni catan di samping menguasai teknik-teknik dan menggunakan bahan-bahan catan dengan kreatif. Mereka akan dilatih untuk menghasilkan karya catan yang mampu bersaing di dalam industri seni tampak negara.

SENI CETAKAN

Pelajar akan didedahkan kepada pemikiran dan pemahaman bahasa seni cetak selain memahami kaedah medium, teknik-teknik seni cetakan konvensional dan pengendalian bahan cetakan secara kreatif seterusnya mampu berkarya dengan menerapkan unsur-unsur tradisi tempatan.

SENI ARCA

Pelajar akan didedahkan dengan pemahaman teori dan praktikal seni arca berlandaskan warisan termasuk cara pengolahan seni tiga dimensi, penguasaan bahan dan kesesuaian teknik penggunaan teknologi. Ia bertujuan untuk meningkatkan kemampuan penghasilan arca sezaman bercirikan seni budaya tradisional yang selari dengan aliran zaman.

KURSUS-KURSUS YANG DITAWARKAN:

Diploma Seni Halus

  • Lukisan
  • Catan
  • Cetakan
  • Arca
  • Fotografi
  • Penyelidikan Studio

DIPLOMA REKAAN KOMUNIKASI VISUAL (MQA/FA 5167)

Program Diploma Rekaan Komunikasi Visual merupakan sebuah program yang memberi tumpuan kepada dua bidang iaitu rekaan grafik digital dan sinografi. Kedua-dua elemen ini mempunyai keselarian dalam keperluan menguasai teknologi perisian digital bagi membantu bukan sahaja membangunkan bidang seni grafik malah menjadi tunjang visual bagi bidang seni persembahan.

SENI REKA GRAFIK

Pelajar akan didedahkan dengan kemahiran menggunakan perisian digital komputer dalam menghasilkan rekaan grafik 2D dan 3D. Pelajar juga akan dilatih menghasilkan lukisan analog dan fotografi bagi mengembangkan lagi kreativiti yang akan diterjemahkan melalui rekaan.

SINOGRAFI

Pelajar akan didedahkan dengan ilmu dan kemahiran merekabentuk visual latar sesebuah produksi seni persembahan seperti seni teater, muzik, tari dan filem. Kemahiran serta keberkesanan rekaan komunikasi visual adalah merupakan tonggak penting dalam menentukan kesan visual sesebuah persembahan.

KURSUS-KURSUS YANG DITAWARKAN:

Diploma Rekaan Komunikasi Visual

  • Grafik
  • Sinografi
  • Rekaan Produksi
  • Fotografi Digital
  • Perniagaan dan Rekaan
  • AutoCAD dan Visualisasi

Klik untuk memohon secara on-line sekarang 

(Paparan terbaik melalui versi desktop)

Kemaskini: 2 September 2023, 1635