MAGiS 2017
Majlis Anugerah Gemilang Siswa (MAGiS 2017) dilaksanakan bertujuan menghargai sumbangan pelajar yang aktif di dalam kelab dan menghargai pelajar yang mengharumkan nama ASWARA di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun ini. Majlis yang diadakan bertempat di Panggung Eksperimen ASWARA pada Selasa, 21 November 2017 ini dihadiri oleh Yang Berusaha Dato’ Prof. Ir. Dr. Mohd Rizon Juhari, Rektor ASWARA, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Md Nasir Bin Ibrahim dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Yang Mulia Raja Nor Sheela Raja Aziddin, Pendaftar ASWARA Encik Md Zusmaidi Abdul Aziz, ketua-ketua bahagian, dekan-dekan fakulti, penerima-penerima anugerah dan penghuni asrama PUTERA dan PUTRi.

MAGiS 2017 menyaksikan pencalonan fakulti-fakulti dan pelajar dalam merebut Anugerah Pelajar Paling Aktif (Asrama), Anugerah Pelajar Paling Aktif (Persembahan), Anugerah Pelajar Paling Aktif (Persatuan/Kelab), Anugerah Pemimpin Asrama, Anugerah Pemimpin Pelajar, Anugerah Aktif (Persatuan/Kelab), Anugerah MAGiS (Pelajar Gemilang), Anugerah MAGiS (Fakulti Gemilang), dan Sijil Penghargaan Penasihat Paling Aktif Kelab/Persatuan. Majlis yang memilih tema Retro 70an untuk tahun ini adalah anjuran Hal Ehwal Pelajar buat kali kedua dan berlangsung juga penyampaian  Watikah Pelantikan Majlis Kepimpinan PUTERA-PUTRi dan sijil penghargaan kepada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bagi sesi akademik 2016/2017 selain penyampaian anugerah yang dipertandingkan.