Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan  



Fakulti Filem & Televisyen

Fakulti Filem & Televisyen yang pada asalnya dikenali dengan Program Sinematografi telah ditubuhkan pada bulan Mei 2002 dengan pengambilan pelajar pertama seramai 12 orang. Pada 23 Mei 2005 (Sesi Akademik 2005/06), seramai 43 orang pelajar Akademi Filem Malaysia (AFM) telah diserapkan ke Jabatan Filem & Televisyen (sebelum bertukar kepada Fakulti) berikutan penutupan AFM. Fakulti ini menawarkan pengajian yang menyeluruh dari segi teori dan praktikal dalam pelbagai kemahiran seperti pengarahan, sinematografi, penyuntingan, penataan bunyi, rekaan produksi dan pengurusan produksi. Fokus utama Fakulti Filem & Televisyen ialah untuk melahirkan ilmuan dan karyawan yang berkaliber dengan menguasai pengetahuan yang mendalam dalam pelbagai bidang penerbitan filem dan Televisyen serta penyelidikan ilmiah.

Kurikulum peringkat diploma dibentuk berasaskan tiga (3) modul utama iaitu Modul Teori & Apresiasi, Latihan Kreatif, dan Pengurusan dan Teknikal. Setiap pelajar dikehendaki mengambil kesemua kursus dan lulus untuk melayakkan mereka memperolehi diploma.


 Diploma Filem & Televisyen

Matlamat utama pendidikan Fakulti Filem & Televisyen ialah untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan profesional dengan menguasai pelbagai bidang penerbitan dan penyelidikan filem. Bentuk kurikulumnya telah dirangka dengan menitikberatkan teori dengan jumlah jam praktikalnya yang tinggi. Program Diploma Filem & Televisyen memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu dan kemahiran yang luas melalui kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajarannya yang berbentuk kelas teori, bengkel, tugasan di makmal dan studio, kajian lapangan, produksi, tayangan filem, diskusi keilmuan bersama-sama tokoh-tokoh akademik serta karyawan undangan dari industri dalam dan luar negara. Warga industri Filem dari dalam dan luar negara dilibatkan secara langsung bersama-sama pelajar sebagai panel penilai karya pelajar, memimpin kursus-kursus berbentuk bengkel produksi dan pensyarah jemputan. Pandangan dan penilaian dari pihak industri menjadi panduan kepada pelajar untuk meningkatkan kualiti dalam berkarya dan pihak fakulti dapat memperbaiki sistem kurikulum dan kaedah pengajaran dari masa ke semasa.

Para pensyarah di fakulti ini terdiri daripada ilmuan dan karyawan yang diakui kepakaran serta pengalamannya dalam bidang akademik dan penggiat industri filem terkenal tanah air. Pendedahan luas melalui sistem pengajaran dan pembelajaran seimbang diantara ilmu teori dan praktis; peralatan pembelajaran setanding dengan industri serta bimbingan daripada tenaga pensyarah berpengalaman telah melengkapkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan industri perfileman tanah air. Program ini memberi peluang kemahiran yang luas kepada pelajar melalui aktiviti-aktiviti perluasan berbentuk bengkel, produksi filem, tayangan dan apresiasi filem, diskusi keilmuan dengan tokoh-tokoh akademik dan penggiat industri. Pembelajaran berbentuk praktikal dan ‘hands-on’ mampu menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam pasaran. Fakulti Filem & Televisyen juga sentiasa melengkapkan kemudahan infrastruktur peralatan pembelajarannya setanding dengan penggunaan dan keperluan industri semasa.

Ijazah Sarjana Muda Filem & Televisyen Dengan Kepujian

Fakulti Filem & Televisyen bermatlamat melahirkan ilmuan dan karyawan yang terlatih, berilmu dan profesional dengan menguasai pengetahuan, kemahiran dalam pelbagai penerbitan filem dan televisyen serta penyelidikan ilmiah. Fakulti ini menawarkan pengajian yang menyeluruh dalam pelbagai bidang kemahiran dan pengkhususan seperti pengarahan, sinematografi, penyuntingan dan bunyi, rekaan produksi dan animasi. Kursus-kursus teras fakulti seperti teori, sejarah dan pengurusan produksi memperkukuh dan melengkapkan kurikulum pengajaran serta pembelajaran agar seimbang di antara ilmu teori dan praktis. Berbekalkan teras pendidikan dalam kesenian-kesenian tradisional sebagai kursus wajib ASWARA, para pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menghasilkan karya kreatif filem dan televisyen beridentitikan semangat dan jati diri budaya tempatan. Para pelajar diberi peluang untuk menimba ilmu dan kemahiran yang luas melalui kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajarannya berbentuk kelas teori, bengkel, tugasan di makmal dan studio, kajian lapangan, produksi, tayangan, filem, diskusi keilmuan bersama tokoh-tokoh akademik serta karyawan undangan dari industri dalam dan luar negara. Aktiviti-aktiviti perluasan khas fakulti seperti projek penerbitan dokumentari, cereka, animasi, di samping seminar dan bicara filem melengkapkan pelajar dengan ilmu praktis agar mereka bersedia mencurah kemahiran di industri setelah menamatkan pengajian.

Fakulti Filem & Televisyen juga sentiasa melengkapkan kemudahan infrastruktur peralatan pembelajarannya setanding dengan penggunaan dan keperluan industri semasa. Para pelajar akan didedahkan dengan penggunaan peralatan produksi menggunakan format digital, High Definition (HD), dan serta peralatan pasca produksi seperti studio penyuntingan visual non-linear, studio rakaman dan penataan bunyi, studio animasi dan sebagainya. Barisan tenaga pensyarahnya pula terdiri daripada ilmuan dan karyawan yang diakui kepakaran serta pengalamannya dalam bidang akademik dan penggiat industri filem terkenal tanah air. Pendedahan luas melalui sistem pengajaran dan pembelajaran seimbang diantara ilmu teori dan praktis, peralatan pembelajaran setanding dengan industri serta bimbingan daripada tenaga pensyarah berpengalaman telah melengkapkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan industri perfileman tanah air.

Klik untuk memohon secara on-line sekarang 

(Paparan terbaik melalui versi desktop)