ORKESTRA SIMFONI DIRAJA ANTARABANGSA 2017 (IROSE 2017)
Sultanah Terengganu, KDYMM Sultanah Nur Zahirah berkenan menghadiri Orkestra Simfoni DiRaja Antarabangsa 2017 (IROSE 2017) yang bertemakan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” pada 7 Ogos 2017 di Panggung Eksperimen, ASWARA. Turut berangkat hadir ke majlis ini ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perempuan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, DYTM Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail ibni KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Seri Temenggung Raja Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dan adindanya. Program ini dianjurkan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ,Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta pihak Kerajaan Negeri Terengganu. Dua universiti di Indonesia iaitu Universitas Palembang dan Universitas Ubudiyah Indonesia juga turut terlibat bagi majlis ini. Program ini juga diserikan lagi dengan majlis menandatangani surat hasrat/Letter of Intent (LoI) dimana institusi-institusi pengajian ini berhasrat untuk bekerjasama dalam penganjuran Orkestra Simfoni DiRaja Antarabangsa.