KINI GILIRAN PENUNTUT ASWARA LAWAT KAMPUS UOLS DAN KARANGKRAF
(2 Mei 2019 | Khamis | Kampus Uols Online)
 
Picture1.jpg
Seramai 19 orang mahasiswa semesta dua dari Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya dengan diiringi seorang pensyarah Perhubungan Awam, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menjalankan lawatan sambil belajar ke Kumpulan Media Karangkraf hari ini. Menurut pensyarah Perhubungan Awam, Wan Mohamed Syamil berkata, mahasiswa yang hadir ke Kumpulan Media Karangkraf adalah pelajar semester dua yang mengambil subjek perhubungan awam, sumber manusia, dan penjenamaan pasaran.
Tujuan hadir ke Kumpulan Media Karangkraf ini adalah untuk melihat bagaimana ketiga-tiga subjek tersebut digunakan dalam satu Industri, bagaimana mereka gunakan teori-teori yang dibelajar, sama ada ia boleh digunakan atau tidak dalam industri. ” Kita hendak mendedahkan mahasiswa mengenai industri Karangkraf ini dan melihat bagaimana industri ini berkerja dalam media cetak, media elektronik dan juga media online,” katanya.
Dalam pada itu, menurut pelajar Pengurusan Seni dan Budaya, Nor Hazlin Hasmida Mohd Rohsidi, ini merupakan kali pertama jejak kaki ke Kumpulan Media Karangkraf. ” Saya baru tahu bahawa Sinar Harian ini di bawah Karangkraf. Saya juga baru tahu bahawa Karangkraf ini ada mengambil pelajar latihan industri sebagai pembantu perhubungan awam. ” Saya sudah mengetahui dari tahun lepas lagi mengenai Kampus Uols ini di dalam berita dan surat khabar, tetapi saya tidak tahu bahawa Kumpulan Media Karangkraf ini juga memberi biasiswa kepada pelajar, “katanya.
 _________________________________________________________________________
PELAJAR ASWARA SANTUNI GELANDANGAN
( 21 Mei 2019 | Selasa | Utusan Malaysia Online)
 
image.jpg
Seramai 50 pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengambil inisiatif mengadakan program berbuka puasa bagi menyantuni golongan gelandangan di sekitar ibu kota, semalam. Pengarah projek Program Amal Bersama Gelandangan ‘Jentik Hati’, Ungku Nor Zalifah Ungku Abdul Rased berkata, program tersebut bertujuan menyemarakkan bulan Ramadan dan mewujudkan ukhuwah yang lebih erat antara pelajar dan gelandangan.
“Buat julung kalinya, ASWARA mencari kelainan dengan mendekati golongan gelandangan. Sebelum ini setiap kali Ramadan, kami lebih memberi perhatian kepada anak-anak kurang bernasib baik seperti anak yatim. “Selain itu, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan sesuatu program,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis berbuka puasa di Pusat Transit Gelandangan di sini. – UTUSAN ONLINE.
 _________________________________________________________________________
JADI PENAGIH CABAR DIRI
IMPIAN NAD TERCAPAI MENERUSI DRAMA BELUM BERJUDUL
(25 Mei 2019 | Sabtu | Berita Harian)
Picture3.jpgPicture4.jpg
Kontroversi dan cerita sensasi bukan keperluan buat aktres, Nad Zainal, 29. Tanpa kisah panas sekalipun, ratu watak berat ini berjaya membuktikan dirinya mampu mengukuhkan kedudukan sebagai bintang drama. Berilah apa juga watak emosi dan berjiwa, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin pasti mempersembahkannya dengan baik. Kehebatan dalam menjayakan karakter berat pula tidak mampu disangkal lagi.
 
Hari ini, aktres yang diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin (ASK) 2018 itu antara bintang drama paling laris. Jika pelakon lain berehat sepanjang Ramadan, anak tunggal dalam keluarga itu pula tidak menang tangan dan dilimpahi rezeki tak disangka-sangka. Berkelulusan Diploma Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan  (ASWARA), Nad berkata, dia suka watak berat demi mencabar diri. 
 
“Apa guna saya belajar di ASWARA jika sekadar membawa watak biasa? Pada awal lakonan, saya selalu ditawarkan watak komedi dan romantik. Jujurnya, apabila sudah berkahwin,  saya segan membawa watak romantik dan berpegangan dengan teman gandingan. Saya malu dengan suami. ” Seboleh-bolehnya saya mahu mengurangkan watak sebegitu, biarpun suami tidak pernah menghalang. Saya lebih selesa berlakon dalam drama atau telefilem yang tiada hero.
 _________________________________________________________________________
GAMBUS, SENI MUZIK ISLAM YANG TERKEKANG
(25 Mei 2019 | Sabtu | Kosmo)
 
Picture2.jpg
Dalam seni muzik Timur Tengah, alat gambus merupakan salah satu daripada lima instrumen muzik utama yang perlu ada dalam sesebuah kumpulan muzik tradisional orang Arab. Diberi gelaran sebagai ‘raja’ segala alat muzik bertali dengan kekayaan sejarah kewujudannya sejak ribuan tahun terdahulu, kesan peninggalan lukisan-lukisan di dinding Piramid di Kaherah, Mesir membuktikan bahawa alat muzik gambus telah wujud sejak dari zaman pemerintahan Firaun lagi.
Ada yang berpendapat bahawa gambus berasal dari Iraq walaupun sejarah tentang kewujudannya masih belum jelas. Sejak 1,200 tahun dahulu, Iraq sememangnya sangat terkenal dengan tokoh-tokoh pemain gambus yang masyhur di seluruh dunia seperti Ziryab, Zalazal dan Ibrahim Museli. Pada zaman Ziryab, gambus telah digunakan bagi dua tujuan. Pertama sebagai alat hiburan manakala yang kedua bagi tujuan penyebaran agama dan dakwah.
Kaedah yang digunakan oleh para ilmuan Islam pada ketika itu adalah dengan memainkan gambus sambil mengucapkan ayat-ayat yang memuji-muji para rasul dan nabi serta nasihat-nasihat yang berlandaskan hadis dan al-Quran. Para khalayak ramai yang terpesona dengan petikan gambus serta alunannya akan secara tidak langsung menghayati maksud ayat-ayat yang disampaikan oleh si pemain. Keunikan alat muzik gambus ini bukan hanya pada rupa bentuk dan bunyi yang dihasilkan tetapi adalah pada sistem Maqamat yang dimainkan iaitu, Ajam, Nahawand, Rast, Bayati, Kurd, Hijaz, Saba dan Sikah.
Hari ini, alat muzik gambus telah pun menjadi sebahagian daripada sistem pembelajaran muzik di sekolah-sekolah dan beberapa universiti awam di Malaysia antaranya Sekolah Seni Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan National Conservatory of Arts. Gambus diajar mengikut silibus dan kurikulum yang telah ditetapkan dan dinilai oleh para panel daripada agensi kementerian. Kandungan pembelajaran yang betul dan tepat selaras dengan kaedah global telah dilaksanakan bagi melahirkan pemain-pemain gambus berkualiti dan berilmu.
_________________________________________________________________________
AYUH SEMARAKKAN TANDA PAGAR #ASWARAONAIR* TIME TO FLY
(31 Mei 2019 | Jumaat |  Kampus Uols Online)
 
Picture5.jpg
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mempunyai Alumni seramai 1,890 orang daripada pelbagai peringkat pengajian Diploma, Ijazah, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diterajui oleh seramai 201 pensyarah dan Adiguru yang memiliki pengalaman luas dalam industri seni kreatif serta dikenali di kalangan penggiat seni tempatan. Sejajar dengan objektif penubuhannya sebagai pusat pendidikan dan kecemerlangan seni, budaya dan warisan, ASWARA telah melahirkan ramai mahasiswa yang berwibawa dan berkualiti serta berjaya mencipta dan mengukir nama sebagai anak seni di persada seni tanah air dan di persada dunia.
Marilah bersama-sama kita semarakkan tanda pagar #ASWARAONAIR * Time to Fly untuk memperingati dan meraikan penubuhan dan detik kegemilangan ASWARA selama 25 tahun sejak 1994. Slogan #ASWARAONAIR * Time to Fly adalah salah satu platform untuk memperkasakan ASWARA sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan pendidikan dalam bidang kesenian, kebudayaan dan warisan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Sejak penubuhannya, ASWARA mula menjadi destinasi pilihan bagi bakal mahasiswa yang berminat untuk meneruskan pelajaran mereka dalam semua bidang-bidang tersebut. Kini, tiba masanya untuk ASWARA terbang lebih tinggi sejajar dengan visi, misi dan objektif ASWARA untuk menjadi peneraju pendidikan formal dan sistematik dalam bidang kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia serta peringkat dunia.
Antara alumni ASWARA, ialah Dr Marlenny Deenerwan, Sherry Al-Hadad, Shahili Abdan (Namron), Aamyra Rosli, Mohd Kamarubahri Hussin, Siti Jasmina Ibrahim, Zamzuriah Zahari, Azizul Zahid Jamal, Dr Norzizi Zulkifli, Floor88, Muhammad Nur Salam Abd.Ghani, Shafirul Azmi Suhaimi, A.Aris A Kadir, Hairul Anuar Harun, Roziah Adama, Teuku Umar Illany Teuku Iskandar, Sabihah Abdul Wahid, Fauziah Gambus, Mohd Hanafi Rosdi, Jamilah Abu Bakar, Nurul Mahira Zainal Abidin, Shahrin Zainurin, Zul Huzaimy Marzuki, Hairi Safwan, Md Eyzendy Md Aziz (Along Eyzendy), Farah Nadia Zainal Abidin (Nad Zainal), Syahidatul Munirah Badrul Munir, Shahrul Azli Mohd Shukor, Mas Zharif Zafri dan ramai lagi.
Justeru, adalah menjadi harapan agar ASWARA akan lebih menyerlah dan berpotensi untuk menjadi institusi seni negara yang terus membawa panji-panji kegemilangan kesenian, kebudayaan dan warisan negara. Oleh itu, marilah bersama-sama kita menggunakan tanda pagar #ASWARAONAIR * Time to Fly supaya ASWARA dapat mencipta lebih banyak kecemerlangan dan kegemilangan seni di mata dunia, seterusnya mengangkat nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.