Prof. Dato’ Ir. Dr. Hj. Mohd Rizon bin Juhari

Rektor

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) merupakan sebuah pusat pengajian seni bertaraf IPT dan sudah membina nama yang teguh sejak 1994. Pada masa ini ASWARA menawarkan 17 buah program pengajian di bawah 8 fakulti, iaitu Penulisan Kreatif, Teater, Tari, Muzik, Filem dan Televisyen, Animasi dan Multimedia, Rekaan Komunikasi dan Visual serta Pengurusan Seni Budaya. ASWARA turut menawarkan pengajian peringkat pasca siswazah melalui Sarjana Seni Kreatif dan PhD. Tenaga pengajar adalah terdiri daripada mereka yang sememangnya pakar dan berpengalaman luas dalam bidang mereka, termasuk Seniman Negara, Sasterawan Negara dan penerima SEA Write Award.

ASWARA kini merancang untuk membuka kampus cawangannya di seluruh negara tidak lama lagi bagi menarik lebih ramai pelajar mengikuti bidang-bidang yang ditawarkan di akademi ini. Ini merupakan usaha ASWARA bagi merakyatkan seni dan tempatan secara lebih efektif terutamanya dalam kalangan generasi muda. Dalam persaingan dunia akademik, sudah sampai masanya ASWARA mempunyai kampus cawangan di seluruh negara seperti IPTA-IPTA lain. ASWARA akan memanfaatkan segala kemudahan di semua cawangan agensi kementerian bagi mencapai matlamat tersebut.

ASWARA sudah dianggap sebagai satu ‘jenama’ dalam pendidikan seni kreatif tanah air. Kesenian tidak seharusnya dipinggirkan dalam pembangunan modal insan atau dianggap sebagai bidang kelas kedua. ASWARA telah memberi ruang supaya bidang seni boleh dipelajari dengan lebih ilmiah dan sistematik. Kesenian warisan juga dipulihara supaya generasi kini dan akan datang lebih mengenal jatidiri bangsa. Tidak akan besar sesuatu bangsa jika tidak memartabatkan kesenian dan warisan budayanya.

MELANGKAH KE HADAPAN BERSAMA TRADISI
“Berjiwa Ilmuwan, Berfikir Budayawan, Bertindak Usahawan”