Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan  



Fakulti Teater

Fakulti Teater merupakan sebuah fakulti yang bertujuan melahirkan graduan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan dalam bidang seni persembahan yang terbahagi kepada dua pengkhususan iaitu Pengarahan dan Lakonan. Pengajaran berkesan yang diterajui oleh sekumpulan adi guru, para pensyarah dan penggiat industry berkaliber adalah sejajar dengan pembelajaran yang efektif dari segi teori dan praktikal bagi memenuhi keperluan semasa dan jangka masa panjang industry kreatif. Antara mereka adalah Ahmad Yatim, Reza Zainal Abidin, Rosminah Mohd.Tahir, Mazlan Tahir dan Ann James. Keistimewaan Fakulti Teater adalah penglibatan seniman dan budayawan yang dijadikan sebagai rujukan teater tradisional dan moden yang sentiasa melontarkan idea dan semangat juang para seniman untuk ditransformasikan kepada generasi muda. Teater Bangsawan, di samping Teater Tradisional Mak Yong, Wayang Kulit dan Randai mengungguli kegiatan karyawan muda bagi memupuk jati diri berakar umbikan budaya tempatan. Ia wajar diterapkan ke dalam genre teater moden dan kontemporari yang berwajah global serta bersifat eksperimentasi.

Kecemerlangan pelajar dapat dilihat melalui penganugerahan beberapa kategori Anugerah Seni Negara, Juhara Ayob (Bakat Muda Lakonan), Hafiz Hussin (Bakat Muda Penataan Cahaya) dan Azizul Zahid Jamal (Karyawan Seni Teater Malaysia). Boh Cameronian Arts Award menyaksikan Shahili Abdan memenangi Skrip Terbaik 2003 ,Sharifah Maryam Syed Abdullah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik 2010 (juga menerima biasiswa akademik Kakiseni 2009 dan Pelakon Harapan Festival Monodrama Universiti ASEAN) dan Naque Ariffin memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 2012. Manakala Siti Nor Khadijah mendapat anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Teater Negeri Sembilan 2007 dan Hairi Safwan menjuarai program realiti TV Anak Wayang 2009 juga Pelakon lelaki terbaik Festival Teater Malaysia 2012. Sepanjang 15 tahun, graduan teater telah menggilap nama sebagai bintang filem, tv dan pentas seperti Zulhuzaimi Marzuki, Zahiril Adzim, Mardiana Alwi, Nad Zainal, Amar Asyraf, Amyra Rosli dan Amirul Azendy.

Pengukuhan pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Teater dimantapkan lagi dengan program bersama IPT, NGO dan swasta melalui pertukaran tenaga pengajar, bengkel dan kursus jangka pendek serta menyertai kegiatan seni persembahan bertaraf antarabangsa seperti Teater Eksperimental (Cairo), Festival Teater Tradisional (Busan, Korea), ‘International Exhibition of Scenography and Theatre Architecture’ (Prague) dan pertukaran pelajar ke Indonesia. Kunjungan pakar-pakar teater seperti Eugenio Barba (Denmark), Prof. Richard Emmert (Noh Theatre), Tristan Sharps (England), John Nobbs & Jacqui Carroll (Australia), Marina Z. A. Mergou (Macedonia) dan Rahman Sabur (Indonesia) telah memperluaskan lagi ilmu dan inspirasi Fakulti Teater untuk bergerak ke arah sebuah fakulti teater yang mantap dari semua aspek pembelajaran dan persembahan.


 Diploma Teater

Program Diploma Teater menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk mengikuti latihan secara formal dan sistematik. Peluang turut di sediakan kepada mereka yang bercita-cita untuk mengembangkan bakat dan memahirkan diri dalam bidang teater secara berperingkat bertaraf sijil. Berteraskan teater tradisional Melayu dan bergerak selari dengan perkembangan teater moden, pendekatan pembelajaran Diploma Teater adalah melalui sistem kuliah, kerja studio, dan produksi dengan menitikberatkan pembelajaran secara ‘hands-on’ daripada tenaga pengajar mahir seperti adi guru, penggiat dan tokoh-tokoh industri, ahli professional dan juga pensyarah, rujukan pembacaan, perbincangan kumpulan, penggunaan komputer serta pelaksanaan projek. Pengisian kursus yang menyeluruh membekalkan kemahiran dan pengalaman secara mapan berdasarkan keperluan industri seni persembahan semasa dengan pemberatan pada aspek praktikal tanpa melupakan aspek penguasaan dan pengukuhan teori.

Ijazah Sarjana Muda Teater Dengan Kepujian

Fakulti Teater berperanan mengembangkan bakat dan mencapai cita-cita bagi mereka yang berminat mendalami bidang ini. Program ini menawarkan latihan berbentuk formal dan sistematik melalui pendekatan pembelajaran berteraskan tradisional dan moden. Berteraskan teater tradisional Melayu dan bergerak selari dengan perkembangan teater moden, pendekatan pembelajaran adalah melalui sistem kuliah, kerja studio, dan produksi dengan menitikberatkan pembelajaran secara ‘hands-on’ daripada tenaga pengajar mahir seperti adi guru, penggiat dan tokoh-tokoh industri, ahli professional dan juga pensyarah, rujukan pembacaan, perbincangan kumpulan, penggunaan komputer serta pelaksanaan projek. Pengisian kursus yang menyeluruh membekalkan kemahiran dan pengalaman secara mapan berdasarkan keperluan industri seni persembahan semasa dengan pemberatan pada aspek praktikal tanpa melupakan aspek penguasaan teori. Konsep pembelajaran adalah selari dengan kehendak semasa industri.

Fakulti Teater menawarkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian seperti berikut:

i. IJAZAH SARJANA MUDA TEATER DENGAN KEPUJIAN (LAKONAN)

Pengkhususan ini bertujuan melatih dan mengasuh bakat serta minat melalui pembinaan diri sebagai aktor dengan gaya dan teknik lakon klasik, moden dan eksperimen berdasarkan sistem dan gaya tokoh-tokoh terpilih dari timur dan barat. Kursus-kursus juga memberi penekanan kepada ‘modal insan’ sebagai matlamat membina kerjaya dalam bidang seni lakon.

ii. IJAZAH SARJANA MUDA TEATER DENGAN KEPUJIAN (PENGARAHAN)

Pengkhususan ini bertujuan mendedahkan tugas dan peranan seorang pengarah dengan mendekati sistem dan kaedah pengarahan produksi teater. Pemantapan ilmu teori, kepimpinan organisasi dan pengurusan artistik sentiasa ditekankan bagi menyediakan pelajar untuk menerajui sesebuah produksi dan menerokai teknologi seni pentas dan gaya pengarahan pilihan.

Klik untuk memohon secara on-line sekarang 

(Paparan terbaik melalui versi desktop)