Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan  



Fakulti Muzik

banner_muzik

Misi Fakulti Muzik adalah untuk mendidik, melatih dan melahirkan pelajar yang cemerlang di dalam bidang muzik serta graduan yang dapat menjadikan muzik sebagai kerjaya. Kurikulum Fakulti Muzik yang unik dan relevan untuk di praktikkan di dalam industri muzik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, telah berjaya menarik ramai pelajar yang berbakat besar di samping mereka yang cemerlang di dalam bidang akademik. Matlamat fakulti ini adalah untuk memelihara dan mengajar kesenian tradisional, muzik kontemporari dan menyediakan persediaan praktikal untuk kerjaya pelajar dalam sebuah program yang digelar sebagai ‘Malaysian Young Artist.’ Dalam usaha memantapkan musicianship dan kreativiti, penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka antara pelajar dan tenaga pengajar mahir yang terdiri daripada sekumpulan adi guru, artis rakaman, komposer, penulis dan penggubah lagu, pendidik dan juga ahli professional membolehkan pelajar mendapat first-hand experience. Pendedahan ini merupakan suatu kesempatan yang amat dinanti-nantikan kerana ianya dapat membentuk pelajar yang berkemahiran tinggi dan cemerlang dalam setiap aspek bidang muzik itu sendiri. Kini Fakulti Muzik berbangga melangkah ke hadapan bersama tradisi bersama-sama pelajar dalam melakar nama di persada dunia.


Diploma Muzik

Berikut adalah modul-modul yang terdapat di dalam program pengajian Diploma Muzik:

  • Persembahan
  • Teknologi Pembuataan Alat Muzik
  • Komposisi
  • Teknologi Muzik
  • Pengurusan Pementasan Muzik

Modul ini di bahagikan kepada persembahan instrumental dan vokal yang menjurus kepada muzik tradisional masyarakat etnik di Malaysia dan juga muzik barat (klasik dan moden). Penekanan diberikan kepada teknik bermain alat muzik dengan gaya yang betul serta membentuk keyakinan dalam penampilan diri semasa persembahan. Modul ini memberi penekanan kepada pemuliharaan dan pembuatan alat muzik seperti alat pergendangan Melayu, alat bertali, alat tiupan dan sistem talaan bunyi bagi gong bertombol. Modul ini juga memberikan penekanan dalam penggubahan dan penciptaan lagu, namun penekanan utama diberikan kepada teknik penulisan skor, rhythm section, analisa skor dan komposisi. Modul teknologi pula memberi pendekatan kepada pelajar di dalam bidang teknikal dan kreatif dalam mengendalikan peralatan dan perisisan muzik. Modul dan pendekatan ini bertujuan melahirkan karya-karya dan rakaman muzik yang bermutu tinggi. Di samping itu juga, pelajar akan mempelajari teknik pemuliharaan muzik dalam bentuk audio atau manuskrip serta berkemahiran mengurus maklumat muzik dalam bentuk pengkalan data dan web. Modul ini memberi pendedahan kepada aspek teori, kreatif dan teknikal dalam menerbitkan sesuatu produksi muzik. Di akhirnya, pelajar akan di beri peluang untuk mengendalikan satu persembahan sebagai penilaian.

Ijazah Sarjana Muda Muzik Dengan Kepujian

Modul program Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Muzik mengandungi kursus yang menggunakan teknologi sebagai pengantara kepada muzik tradisional dan moden untuk menghasilkan karya baru yang seiring dengan kemajuan semasa dalam industri muzik. Modul-modul yang ditawarkan dalam Fakulti Muzik ialah:

  • Modul Persembahan
  • Modul Gubahan dan Teknologi
  • Modul Produksi Muzik
  • Perniagaan Muzik

Modul ini di bahagikan kepada persembahan instrumental dan vokal yang menjurus kepada muzik tradisional Melayu, Cina, India dan etnik serta muzik barat (klasik dan jazz moden). Muzik ini memberi penekanan kepada penganalisaan dan kritikan muzik serta pengurusan persembahan secara lebih terperinci.

Modul ini merupakan kursus lanjutan yang mana ianya melibatkan teknik gubahan dan komposisi serta aplikasi harmoni yang lebih spesifik. Penekanan diberikan kepada penggunaan peralatan serta perisian yang digunakan dalam produksi muzik seperti teknik rakaman, suntingan dan mastering. Pelajar didedahkan dengan penggunaan teknologi secara lebih kreatif bagi menghasilkan karya bermutu tinggi dan professional. Modul ini diperkenalkan untuk melahirkan usahawan dalam industri muzik khususnya dalam bidang pengurusan, pemasaran dan penerbitan.

Klik untuk memohon secara on-line sekarang 

(Paparan terbaik melalui versi desktop)