Perlembagaan Majlis Bersama Jabatan
Penubuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ASWARA adalah bertepatan dengan pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan oleh JPA iaitu :
Pekeliling Perkhidmatan Awam (PKPA) Bilangan 2 Tahun 1992 bertajuk Penyusunan Semula Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja-Pekerja Dalam Sektor Awam; dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002
Bidang Dan Fungsi
Bidang dan fungsi Majlis hendaklah hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasa Majlis yang mana adalah seperti berikut:
Membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali semua perkara mengenai perkara-perkara perseorangan; Membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan; Menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran berbagai Jabatan; dan Mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan organisasi pejabat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.
Mesyuarat
Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan sekurang- kurangnya 3 bulan sekali. Korum bagi mesyuarat Majlis hendaklah terdiri daripada lapan (8) ahli Pihak Pegawai dan lapan (8) ahli Pihak Pekerja.
Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.
Mesyuarat khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi jika dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh pegawai-pegawai Majlis. Perkara-perkara yang dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis memanggil mesyuarat tersebut.
Pindaan Kepada Perlembagaan
Perlembagaan majlis boleh dipinda di mana-mana satu mesyuarat Majlis. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk diluluskan.
Pegawai-Pegawai Majlis
Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi adalah Pengerusi Perwakilan Pihak Pekerja. Tiap-tiap pihak dalam Majlis hendaklah melantik seorang daripadanya untuk memenuhi jawatan Setiausaha Bersama.
Keahlian
Majlis Bersama Jabatan Bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (selepas ini disebut sebagai “Majlis”) hendaklah mengandungi 30 ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri daripada 14 ahli yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Kementerian (selepas ini disebut sebagai “Pihak Pegawai”) dan 16 ahli yang dipilih oleh pekerja-pekerja itu sendiri (selepas ini disebut sebagai “Pihak Pekerja”).