Fakulti Tari menawarkan pengajian dalam pelbagai teknik tari tradisional dan kontemporari dari seluruh Malaysia, Asia dan Barat. Sasaran utama fakulti adalah melahirkan penari profesional, berilmu dan berkaliber tinggi, serta mampu menghasilkan idea dalam penghasilan karya.

Fakulti Tari meneroka bidang tari secara global melalui kegiatan studio, kuliah dan produksi dengan menggunakan pendekatan pembelajaran secara ‘hands-on’ daripada tenaga pengajar mahir seperti adiguru, tokoh industri, ahli profesional dan juga pensyarah. Berteraskan tari tradisional Malaysia, pengisian kursus yang menyeluruh melalui rujukan seperti rujukan bacaan, bengkel tari, serta perlaksanaan produksi akan membekalkan kemahiran, pengalaman serta semangat perjuangan untuk memajukan bidang seni tari tanahair.


DIPLOMA TARI

MQA/ FA 0163

ASWARA menawarkan program Diploma Tari yang menerapkan konsep pembelajaran praktikal dan teori yang merangkumi kepelbagaian budaya, penciptaan karya dan pemikiran dalam tari. Silibus pembelajaran adalah berteraskan asas teknik tari tradisional Malaysia yang meliputi tarian kaum utama di Malaysia. Seiring dengan industri pada masa kini, bagi menghasilkan penari yang berdaya saing, teknik tari Barat seperti Balet dan Kontemporari dijadikan sebahagian daripada subjek utama yang akan dipelajari. Pelajar juga akan didedahkan dengan bagaimana mencipta gerak dan elemen-elemen penting dalam menghasilkan koreografi tari.

Selain itu, bagi memastikan pelajar mampu berfikir, berbincang dan menilai sesuatu persembahan, subjek teori  seperti Teori Persembahan, Sejarah Tari serta Anatomi dan Kecederaan  dapat membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Program ini bertujuan memberi penekanan menyeluruh dalam setiap tarian yang dipelajari dari segi kefahaman teknik, gaya dan rasa supaya dapat melahirkan penari yang berkualiti.

Berikut merupakan jenis tarian yang akan dipelajari:

  • Tari Rakyat Melayu
  • Tari Klasik Melayu
  • Tari Rakyat Cina
  • Tari Klasik India
  • Tari Etnik Sabah
  • Tari Etnik Sarawak
  • Kontemporari
  • Balet
  • Silat
  • Tai Chi

IJAZAH SARJANA MUDA TARI DENGAN KEPUJIAN

ASWARA menawarkan program dalam dua pengkhususan iaitu:-

  1. Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian (Persembahan)

          MQA/FA 0144; dan

2. Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian (Koreografi)

          MQA/FA 0145

Program ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang dapat menguasai pelbagai teknik tari Malaysia, Asia dan Barat. Secara amnya pelajar akan menumpukan pada satu bidang tertentu sahaja. Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan penari dan koreografer profesional yang bertaraf antarabangsa serta berilmu dari segi teori dan praktikal.

Dalam usaha membangunkan industri seni kreatif negara, program ini menitikberatkan teori dan falsafah pendidikan yang dapat melahirkan graduan berilmu untuk melaksanakan kajian supaya mereka dapat menjadi pengamal, pendidik, pakar rujuk serta pusat rujukan etnologi tari.

Berikut merupakan pelaksanaan modul dalam persembahan dan koreografi:

1) Modul Persembahan

Pelajar akan mempersembahkan (pilihan) tarian seperti berikut:

  • Tari Melayu
  • Tari India
  • Tari Cina
  • Tari Sabah/Sarawak
  • Balet
  • Kontemporari
  • Silat
  • dan lain-lain

Syarat: Setiap pelajar wajib mempersembahkan tarian secara SOLO, DUET, dan BERKUMPULAN. Durasi persembahan adalah selama 20 hingga 30 minit untuk setiap pelajar;

ATAU

2) Modul Koreografi

Pelajar harus menghasilkan DUA KARYA iaitu:-

  • Satu karya yang menggunakan elemen tradisi.
  • Satu karya bebas.

Durasi setiap karya adalah selama 8 hingga 10 minit.


KURSUS-KURSUS YANG DITAWARKAN:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Klik untuk memohon secara on-line sekarang 

(Paparan terbaik melalui versi desktop)

 

Kemaskini: 2 September 2023, 1430